Monday 25 March 2013

TEORI KONSTRUKTIVISME PIAGET

Jean Piaget dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland. Beliau merupakan seorang ahli psikologi dalam bidang pendidikan. Memberi tumpuan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Beliau meninggal dunia pada tahun 1980.

Di dalam Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1970), terkandung huraian konsep asas teori iaitu skema, asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang berkait rapat dengan pembelajaran kognitif individu. Mari kita tinjau apakah disebalik teori-teori tersebut.

1.  Skema
Skema merupakan model tingkah laku yang ditonjolkan semasa proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar. Ia dirujuk sebagai kebolehan atau pengalaman individu yang dipelajari dan diperolehi berdasarkan syarat-syarat yang diwarisi. Skema yang ditonjolkan seperti aksi, bahasa, pemikiran, pandangan atau idea yang boleh mewakili ciri tingkah laku adalah disebut sebagai skema individu. Maka skema individu merupakan tingkah laku yang sering berubah mengikut pembelajarannya. Skema tingkah laku berubah dari semasa ke semasa dari kasar kepada halus dan dari mudah kepada kompleks. Contohnya skema minum, skema memegang, skema menghisap dan lain-lain.

2.  Asimilasi
Proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan skema yang sedia ada seperti menambahkan data baru ke dalam fail data yang sedia ada. Asimilasi melibatkan percubaan memahami sesuatu yang baru dengan menyesuaikannya ke dalam sesuatu yang telah kita ketahui. Contohnya, kanak-kanak akan memikirkan seekor hamster sebagai seekor tikus. Kanak-kanak akan cuba memadankan pengalaman baru dengan sekema yang sedia ada tentang cara mengenal pasti binatang.

3.  Akomodasi
Melibatkan perubahan skema sedia ada atau membentuk skema baru dalam memberi respon baru kepada maklumat baru. Apabila maklumat baru tidak sesuai dengan skema yang ada, maka kita perlu sesuaikan dengan pemikiran kita. Seperti contoh kanak-kanak yang mengenal hamster di atas tadi, kanak-kanak tersebut akan menambah skema baru untuk mengenali hamster kepada sistem lain untuk mengenal pasti binatang yang dikenali sebagai akomodasi.

4.  Adaptasi
Dalam proses mengorganisasi struktur mental kita akan membuat penyesuaian terhadap persekitaran ini dinamakan sebagai adaptasi. Malah, wujud keseimbangan antara akoodasi dan asimilasi. Keseimbangan tersebut wujud apabila kanak-kanak cenderung untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran. 

Dari kajian pemerhatian Piaget, beliau mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat melalui perubahan umur mereka. Piaget membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat berikut:

Peringkat Sensori Motor (0-2 tahun)
·         Penggunaan deria dan pergerakan fizikal sebagai saranan perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya.
·         Pengekalan objek (gambaran objek di dalam memori).
·         Permulaan pemikiran logik dengan aktiviti yang bertujuan serta pengulangan proses ke bentuk asal.



Peringkat Pra-operasi (2-7 tahun )
·         Menggunakan minda sebagai medium pembentukan skema baharu.
·         Perwakilan sesuatu objek menerusi simbol.
·         Kemahiran berbahasa semakin meluas.
·         Tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan.
·         Sikap egosentrik (pemahaman persekitaran bersumberkan perspektif sendiri.



Peringkat Operasi Konkrit (7-11 tahun)
·         Pemikiran secara logik dan masih terikat dengan situasi konkrit.
·         Berkebolehan menguasai konsep pemuliharaan (conservation) yang terdiri daripada 3 prinsip asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan.
·         Penguasaan proses penyusunan secara bersiri.


Peringkat Operasi Formal (11 tahun dan ke atas)
·         Pemikiran abstrak.
·         Pemikiran sistematik.
·         Kebolehan berhipotesis.
·         Egosentrik remaja (susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling).




0 comments:

Post a Comment