Monday 25 March 2013

TEORI KONSTRUKTIVISME PIAGET

Jean Piaget dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland. Beliau merupakan seorang ahli psikologi dalam bidang pendidikan. Memberi tumpuan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Beliau meninggal dunia pada tahun 1980.

Di dalam Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1970), terkandung huraian konsep asas teori iaitu skema, asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang berkait rapat dengan pembelajaran kognitif individu. Mari kita tinjau apakah disebalik teori-teori tersebut.

1.  Skema
Skema merupakan model tingkah laku yang ditonjolkan semasa proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar. Ia dirujuk sebagai kebolehan atau pengalaman individu yang dipelajari dan diperolehi berdasarkan syarat-syarat yang diwarisi. Skema yang ditonjolkan seperti aksi, bahasa, pemikiran, pandangan atau idea yang boleh mewakili ciri tingkah laku adalah disebut sebagai skema individu. Maka skema individu merupakan tingkah laku yang sering berubah mengikut pembelajarannya. Skema tingkah laku berubah dari semasa ke semasa dari kasar kepada halus dan dari mudah kepada kompleks. Contohnya skema minum, skema memegang, skema menghisap dan lain-lain.

2.  Asimilasi
Proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan skema yang sedia ada seperti menambahkan data baru ke dalam fail data yang sedia ada. Asimilasi melibatkan percubaan memahami sesuatu yang baru dengan menyesuaikannya ke dalam sesuatu yang telah kita ketahui. Contohnya, kanak-kanak akan memikirkan seekor hamster sebagai seekor tikus. Kanak-kanak akan cuba memadankan pengalaman baru dengan sekema yang sedia ada tentang cara mengenal pasti binatang.

3.  Akomodasi
Melibatkan perubahan skema sedia ada atau membentuk skema baru dalam memberi respon baru kepada maklumat baru. Apabila maklumat baru tidak sesuai dengan skema yang ada, maka kita perlu sesuaikan dengan pemikiran kita. Seperti contoh kanak-kanak yang mengenal hamster di atas tadi, kanak-kanak tersebut akan menambah skema baru untuk mengenali hamster kepada sistem lain untuk mengenal pasti binatang yang dikenali sebagai akomodasi.

4.  Adaptasi
Dalam proses mengorganisasi struktur mental kita akan membuat penyesuaian terhadap persekitaran ini dinamakan sebagai adaptasi. Malah, wujud keseimbangan antara akoodasi dan asimilasi. Keseimbangan tersebut wujud apabila kanak-kanak cenderung untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran. 

Dari kajian pemerhatian Piaget, beliau mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat melalui perubahan umur mereka. Piaget membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat berikut:

Peringkat Sensori Motor (0-2 tahun)
·         Penggunaan deria dan pergerakan fizikal sebagai saranan perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya.
·         Pengekalan objek (gambaran objek di dalam memori).
·         Permulaan pemikiran logik dengan aktiviti yang bertujuan serta pengulangan proses ke bentuk asal.



Peringkat Pra-operasi (2-7 tahun )
·         Menggunakan minda sebagai medium pembentukan skema baharu.
·         Perwakilan sesuatu objek menerusi simbol.
·         Kemahiran berbahasa semakin meluas.
·         Tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan.
·         Sikap egosentrik (pemahaman persekitaran bersumberkan perspektif sendiri.



Peringkat Operasi Konkrit (7-11 tahun)
·         Pemikiran secara logik dan masih terikat dengan situasi konkrit.
·         Berkebolehan menguasai konsep pemuliharaan (conservation) yang terdiri daripada 3 prinsip asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan.
·         Penguasaan proses penyusunan secara bersiri.


Peringkat Operasi Formal (11 tahun dan ke atas)
·         Pemikiran abstrak.
·         Pemikiran sistematik.
·         Kebolehan berhipotesis.
·         Egosentrik remaja (susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling).




Sunday 24 March 2013

TEORI KEPELBAGAIAN KECERDASAN GARDNER


Pada tahun 1983, Howard Gardner seorang ahli psikologi barat, telah mengasaskan satu teori yang berkaitan dengan kecerdasan iaitu teori kepelbagaian kecerdasan melalui bukunya Gardner, Frames of Mind. Pendapat yang dikemukakan oleh Howard Gardner menunjukkan bahawa kecerdasan seseorang dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan. Beliau menyenaraikan lapan kecerdasan yang terdapat pada seseorang.

Walaubagaimanapun, Gardner telah membuat satu spekulasi bahawa terdapat kewujudan kecerdasan yang kesembilan iaitu "existential intelligent" yang berkaitan dengan keadaan kerohanian manusia. Menurut Gardner, setiap individu mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza kecerdasan. Malah kecerdasan tersebut boleh ditingkatkan dengan pendidikan melalui aktiviti yang bersesuaian. Oleh itu, dalam konteks pendidikan guru memainkan peranan penting untuk merancang aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat memenuhi keperluan kecerdasan daripada sembilan kecerdasan sepertimana yang diperkenalkan oleh Gardner.


Sembilan Teori Kecerdasan Pelbagai :
  1. Kecerdasan Kinestetik - Kecerdasan ini melibatkan penggunaan sebahagian atau keseluruhan anggota badan untuk berkomunikasi atau menyelesaikan masalah. Secara teori, orang-orang yang mempunyai kecerdasan badan-kinestetik perlu belajar lebih baik dengan melibatkan pergerakan otot pada aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersukan dan tarian. Kecerdasan kinestetik ini boleh dilatih kepada seseorang individu daripada sejak kecil lagi. Kerjaya yang sesuai bagi mereka yang mempunyai kecerdasan ini termasuk atlit, juruterbang, penari, pelakon, pegawai polis dan askar. Contohnya seperti Shalin Zulkifli dan Nicole David.
  2. Kecerdasan Interpersonal - Kecerdasan ini merupakan kemampuan individu dalam mendiskriminasi antara pelbagai petanda interpersonal dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan berkesan secara pragmatik terhadap petanda tersebut. Kecerdasan interpersonal berkait rapat dengan emosi dan membolehkan seseorang itu memahami perasaan, motivasi, tabiat dan hasrat orang lain. Seterusnya mereka dapat berinteraksi dengan mudah dan boleh bekerjasama dengan orang lain secara praktikal untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Menurut Gardner, kecerdasan ini membantu kita bersosial dengan orang lain. Kecerdasan interpersonal dimiliki juga penting kerana kemahiran ini melambangkan keperibadian seseorang itu. Biasanya, seseorang yang mempunyai kecerdasan interpersonal yang kuat akan menjadi pemimpin dan pandai memberi nasihat. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan berkesan melalui pembelajaran, bekerjasama dengan rakan sebaya dan mudah terlibat dengan sebuah pergaulan. Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti kaunselor, jururundung dan ahli politik. Contohnya Dato' Dr. Fadzilah Kamsah.
  3. Kecerdasan Intrapersonal - Kecerdasan ini merupakan kesedaran tentang diri sendiri, berfikiran metakognitif dan berkebolehan untuk menilai diri sendiri. Orang yang memiliki kecerdasan intrapersonal yang tinggi selalunya dapat mengenali diri sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan tentang kekuatab dan kelemahan diri sendiri. Selain itu, mereka pandai menentukan hala tuju kehidupan serta mempunyai pegangan, prinsip dan azam yang kuat serta boleh berdikari. Secara keseluruhannya, orang yang mempunyai kecerdasan intrapersonal yang tinggi biasanya kelihatan murung dan suka mengelamun selain suka bersendirian, suka kesunyian dan suka bermonolog. Walaubagaimanapun mereka juga sentiasa berwaspada dan berwawasan dalam melakukan sesuatu. Mereka mengetahui apa yang dapat dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan dalam persekitaran sosial serta mengetahui kepada siapa harus mereka meminta bantuan pada saat-saat yang diperlukan. Contohnya pemimpin, ahli falsafah, pendeta dan pemikir.
  4. Kecerdasan Logik-Matematik - Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan logik, abstrak, penaakulan dan nombor. Kebolehan dominan di bahagian kiri otak membolehkan individu menaakul secara deduktif dan induktif serta berfikir secara konseptual. Individu yang mempunyai kecerdasan logikal matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang besar terhadap kegiatan yang berbentuk eksplorasi. Individu ini sering bertanya tentang berbagai-bagai fenomena yang dilihat yang berlaku disekeliling dan suka mengklasifikasikan benda untuk mudah mengira. Contohnya saintis, jurutera, arkitek dan doktor.
  5. Kecerdasan Verbal-Linguistik - Kecerdasan ini berkait dengan penguasaan bahasa, kesusasteraan dan kemahiran menggunakan bahasa yang kompleks. Seseorang yang mempunyai kecerdasan verbal-lingusitik tinggi memaparkan kemudahan dengan kata-kata dan bahasa. Individu ini sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk memanipulasikannya. Mereka cenderung untuk belajar lebih baik dengan membaca, mengambil nota, mendengar kuliah dan berbincang dan berdebat mengenai apa yang mereka pelajari. Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti pengarang, pensyarah, wartawan dan peguam. Contohnya A. Samad Said, Osman Awang dan Za'ba.
  6. Kecerdasan Visual-Ruang - Kecerdasan ini memperkatakan tentang penghakiman ruang dan keupayaan untuk menggambarkan dengan mata minda. Individu yang mempunyai kecerdasan visual-ruang memiliki keupayaan berimaginasi yang tinggi dan mampu mencipta sesuatu yang kreatif atau baru serta sukar untuk difikirkan oleh orang lain. Mereka mampu membuat andaian atau hipotesis mengenai pelbagai perkara seperti tafsiran mengenai alam. Peka kepada warna, garisan, bentuk, corak dan ruang yang terdapat disekeliling. Individu yang mahir dalam bidang ini seperti juruterbang, ahli pelayaran, angkasawan dan termasuklah juga pelukis dan arkitek. Contohnya Azhar Mansor.
  7. Kecerdasan Naturalis - Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan memupuk maklumat berkaitan persekitaran semulajadi. Individu yang mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi biasanya merupakan seseorang pencinta alam yang dapat mengenali dan mengklasifikasikan flora, fauna dan galian dengan mudah. Mereka mempunyai sikap prihatin dan penyayang yang tinggi terhadap alam. Pelajar yang mempunyai kecerdasan naturalistik akan lebih berkesan kecerdasannya dengan mengadakan aktiviti luar kelas. Contohnya seperti ahli biologi, nelayan, ahli botani, ahli geologi dan pendaki gunung adalah kerjaya yang sesuai bagi mereka yang mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi.
  8. Kecerdasan Muzik - Kecerdasan ini berkaitan dengan kemampuan untuk menggemari, mendiskriminasi dan meluahkan perasaan melalui muzik. Menurut Gardner, kecerdasan ini berjalan di struktur yang hampir sejajar dengan kecerdasan linguistik. Individu ini berupaya menggunakan set asas atau elemen-elemen muzik serta dapat bermain alat muzik dan menghafal lirik muzik dengan baik. Selain itu mampu menggubah rentak dan tempo serta mudah kenal dan mengingat nada-nada bunyi atau muzik. Mereka sering berjaya menjadi selebriti yang terkenal seperti penyanyi, penggubal lagu, komposer, penulis lirik dan pengarah teater. Contohnya P. Ramlee.
  9. Kecerdasan Eksistensialis atau Spiritual - Individu yang mempunyai kecerdasan ini memiliki ciri-ciri yang lebih cenderung untuk bertanya dan menimbulkan persoalan berkaitan hasil-hasil pemerhatiannya terhadap persekitarannya atau mengenai segala kewujudan manusia, erti kehidupan, mengapa manusia mengalami kematian dan juga realiti yang dihadapi oleh manusia dalam hidup. Untuk menungkatkan kecerdasan ini seseorang boleh membaca banyak buku falsafah dan menyoal diri sendiri tentang pertanyaan yang membolehkannya menelaah jawapan secara mendalam. Contohnya Plato, Socrates dan Einstein.
Sesungguhnya teori kecerdasan pelbagai penting untuk pengajaran dan pembelajaran kerana teori ini dapat dijadikan sebagai petunjuk kepada potensi murid supaya guru dapat merancang pengajaran mereka dengan lebih berkesan.

Wednesday 20 March 2013

BELAJAR SAMBIL BERMAIN

Apa yang dikatakan dengan belajar sambil bermain sebenarnya? Bagi saya belajar sambil bermain membolehkan seseorang kanak-kanak merasai sendiri situasi sebenar dan kanak-kanak tersebut berpeluang untuk mengaplikasikan apa yang mereka tahu dalam permainannya. Jadi kanak-kanak selalunya akan melakukan tindakan spontan tanpa arahan. Bermain juga adalah kerja kanak-kanak yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran dan kemahiran.

Belajar sambil bermain dapat mempertingkatkan pengalaman kanak-kanak dan dengan pengalaman yang dikumpulkan, kanak-kanak akan belajar dan mereka boleh menguasai ilmu pengetahuan dengan cepat. Oleh itu, sebenarnya kanak-kanak perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi kanak-kanak dalam dunia mereka sendiri. Malah, setiap permainan yang dirancang oleh guru di prasekolah mestilah mempunyai motif tertentu yang dapat mempertingkatkan perkembangan seseorang kanak-kanak.

Antara contoh belajar sambil bermain adalah seperti bermain pasir. Melalui aktiviti bermain pasir kanak-kanak dapat memperkembangkan kemahiran motor halus. Di samping itu, ada juga permainan lain yang dapat mempertingkatkan kemahiran motor halus seperti menguntai manik, menggunting, menguntai tali kasut, menampal dan sebagainya. Bagi mempertingkan kemahiran motor kasar boleh didapati melalui aktiviti melompat, naik turun tangga, bergayut, menari, memanjat dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun contoh-contoh permainan yang disebutkan tadi hanyalah sebahagian aktiviti yang boleh dilakukan dalam aktiviti belajar sambil bermain. Malah, terdapat banyak lagi pilihan permainan yang boleh dilaksanakan bersama kanak-kanak untuk mereka merasai sendiri pengalaman semasa mereka bermain dan aktiviti tersebut seharusnya memberikan peluang kepada kanak-kanak mempertingkan perkembangan mereka sama ada dari segi emosi, jasmani, rohani, mahupun perkembangan sosial kanak-kanak.


PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA


 

Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:
  1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
  2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
  3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
  4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
  5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
  6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
  7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
  8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
  9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
  10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
  11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Friday 15 March 2013

TEORI PERKEMBANGAN SIGMUND FREUD



     Sigmund Freud dilahirkan pada tahun 1856 di Chechoslovakia. Beliau seorang doktor perubatan tetapi minat beliau mendalam dalam bidang psikologi dan psikiatri. Menurut Freud personaliti manusia terdiri daripada tiga bahagian iaitu Id, Ego dan Superego.

  • Id ialah personaliti tidak sedar yang menekankan kepuasan serta-merta tetapi inginkan keseronokan ketahap maksima. Id adalah tempat menyimpan segala keinginan manusia dan ia didorong oleh tenaga labido (seks) yang mengandungi desakan asas.
  • Ego ialah bahagian personaliti yang logis serta teratur. Ego mengawal Id supaya tidak mengawal norma-norma hidup.
  • Superego pula ialah bahagian personaliti yang bermoral. Superego berkembang secara beransur-ansur sejak kanak-kanak ketika berinteraksi dengan ibu bapa atau gurunya. Superego akan menghantar maklumat kepada Ego dan Ego akan menghantar maklumat kepada Id.

Menurut Freud lagi, setiap kanak-kanak berkembang melalui lima peringkat iaitu :

1. Peringkat Oral (0-1 tahun)
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan kepuasan daripada ibu bapa daripada aktiviti menghisap (sebelum usia 18 buan) dan menggigit (selepas 18 bulan). Personaliti akan terbentuk daripada pengalaman. Bagi kanak-kanak yang tidak puas menggigit dan menghisap, akan membentuk personaliti agresif, suka mengejek orang apabila besar.

2. Peringkat Anal atau dubur (1-3 tahun) - walaubagaimanapun ada yang mengeatakan peringkat anal bermula dari 2-4 tahun.
Kanak-kanak telah bersedia dan mengawal fungsi biologi seperti membuang air. Kepuasan bukan lagi melalui pembuang najis. Kanak-kanak akan memberi perhatian lebih terhadap kawalan buang air kecil dan besar supaya diteria dan dikasih oleh ibu bapa.

3. Peringkat Falik atau kubul (3-6 tahun)
Pada peringka ini kanak-kanak selalu memegang organ kejantinaan untuk mendapatkan kepuasan. Kanak-kanak telah mula mempunyai perasaan terhadap ibu bapa sendiri. Bagi kanak-kanak lelaki adalah terhadap ibu sendiri dan mudah berlaku konflik Oedipus sementara kanak-kanak perempuan berlaku konflik Elektra. Oleh itu, ibu bapa mesti memainkan peranan penting dalam mengawal dan memenuhi perasaan supaya konflik tidak berlaku.

4. Peringkat Latensi (6-12 tahun)
Pada peringkt ini, kasih sayang dan keberahian telah bertukar kepada rakan sebaya. Kanak-kanak yang berjaya mengatasi dan mengawal perasaan ini boleh menjadi orang yang baik.

5. Peringkat Genital (12 tahun dan ke atas)
Perigkat ini dikatakan awal remaja, mereka mula menaruh minat terhadap rakan sebaya berlainan jantina. Menurut Freud, tenaga seks (labido) akan mendorong individu menaruh minat terhadap individu di luar keluarga mereka.

Monday 25 February 2013

TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK GESELL

Dalam entri pertama ini, saya akan berkongsi mengenai kelas minggu kedua bagi subjek PPEK3104 Perancangan Program dan Strategi Pengajaran.

Setiap insan mengalami perubahan dan perkembangan daripada aspek fizikal, sosial, kognitif dan emosi daripada lahir sehingga remaja dan tua. Pembelajaran hanya boleh berlaku apabila aspek fizikal, kognitif dan saraf pelajar mencapai kematangan. Sebagai guru kita perlu memahami aspek pertumbuhan dan perkembangan pelajar. Walaubagaimanapun sebenarnya tahap perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza walaupun di peringkat umur yang sama.


Arnold Gesell atau nama sebenarnya Arnold Lucius Gesell (1952) mengatakan bahawa baka dan kematangan adalah faktor penting dalam menentukan perkembangan kanak-kanak. Perkembangan mereka adalah unik antara satu sama lain dan tempoh 5 tahun pertama merupakan perkembangan kanak-kanak dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial. Menurut Gesell semasa perkembangan bayi, mereka belajar duduk, berdiri, berjalan dan berlari. Keupayaan tersebut juga berkembang dalam urutan yang spesifik. Mereka muncul dengan pertumbuhan saraf yang berbeza dari segi kepantasan perkembangan. Mereka tidak berdiri dan berjalan pada umur yang sama. Walaubagaimanapun, mereka melalui sekuens atau turutan yang serupa. Dari pandangan Gesell ini, perbezaan individu dalam kepantasan pertumbuhan dikawal sepenuhnya oleh mekanisme genetik dalaman.

Menurut Gesell lagi, kesan kematangan dapat dibandingkan dengan kesan persekitaran. Faktor persekitaran ini penting. Kematangan menyokong pertumbuhan yang baik tetapi mereka tidak memainkan peranan terus dalam struktur sekuens perkembangan dan bentuk tingkah laku. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, ia memasuki jenis persekitaran yang berbeza, bukan sahaja persekitaran yang bertemu dengan kehendak fizikal tetapi persekitaran sosial dan budaya yang cuba menggalakkannya berkelakuan dalam cara yang sewajarnya.

Gesell lebih menitik beratkan untuk mengajar kanak-kanak akan perkara terdahulu daripada jadual. Kanak-kanak akan duduk, berjalan dan bercakap apabila mereka bersedia dan sistem saraf sudah matang sepenuhnya. Pada masa yang sesuai mereka mula menguasai sesuatu tugasan yang datang dari kenginginan sendiri.

PERANAN SEBAGAI IBU BAPA, GURU DAN PENGASUH

Setelah kita mengetahui perkembangan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan pengasuh tidak perlu terlalu bimbang sekiranya seseorang kanak-kanak itu melalui proses perkembangan yang lambat. Hal ini demikian kerana sepertimana kata Gesell, kanak-kanak akan berkembang melalui jadualnya. Walaubagaimanapun latihan terhadap kanak-kanak perlu dilakukan supaya mereka melalui persekitaran yang dapat memberi galakan untuk meraka menjalani proses perkembangan dengan cepat.

Semasa bayi belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara kembali duduk. Tunjukkan cara bagaimana membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh dan biarkan dia mencuba sendiri. 

Anda boleh menggalakkan kanak-kanak berjalan dengan berdiri atau berlutut di depannya sambil menghulurkan tangan, dengan memegang kedua-dua tangan kanak-kanak dan membantu kanak-kanak bergerak ke arah anda atau boleh juga memberi perangsang seperti mainan supaya kanak-kanak tertarik untuk berjalan ke arah benda yang disukainya. Contohnya, membeli sebuah mainan yang boleh dipegang dan tolak supaya kanak-kanak berjalan melaluinya. 

Selain itu, ibu bapa, guru dan pengasuh boleh juga melatih kanak-kanak menaiki tangga dengan pengawasan supaya kanak-kanak tidak terdedah kepada keadaan yang berbahaya. Hal ini demikian kerana dalam proses belajar berjalan kanak-kanak masih memerlukan pertolongan turun dan naik tangga.

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, guru dan pengasuh kanak-kanak, kita seharusnya menitik beratkan tentang persekitaran kanak-kanak itu sendiri. Sepertimana menurut Gesell bukan sahaja persekitaran yang bertemu dengan kehendak fizikal tetapi persekitaran sosial dan budaya yang cuba menggalakkan kanak-kanak berkelakuan dalam cara yang sewajarnya. Begitulah penting faktor persekitaran memainkan peranannya dalam perkembangan seseorang kanak-kanak.