Wednesday 20 March 2013

BELAJAR SAMBIL BERMAIN

Apa yang dikatakan dengan belajar sambil bermain sebenarnya? Bagi saya belajar sambil bermain membolehkan seseorang kanak-kanak merasai sendiri situasi sebenar dan kanak-kanak tersebut berpeluang untuk mengaplikasikan apa yang mereka tahu dalam permainannya. Jadi kanak-kanak selalunya akan melakukan tindakan spontan tanpa arahan. Bermain juga adalah kerja kanak-kanak yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran dan kemahiran.

Belajar sambil bermain dapat mempertingkatkan pengalaman kanak-kanak dan dengan pengalaman yang dikumpulkan, kanak-kanak akan belajar dan mereka boleh menguasai ilmu pengetahuan dengan cepat. Oleh itu, sebenarnya kanak-kanak perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi kanak-kanak dalam dunia mereka sendiri. Malah, setiap permainan yang dirancang oleh guru di prasekolah mestilah mempunyai motif tertentu yang dapat mempertingkatkan perkembangan seseorang kanak-kanak.

Antara contoh belajar sambil bermain adalah seperti bermain pasir. Melalui aktiviti bermain pasir kanak-kanak dapat memperkembangkan kemahiran motor halus. Di samping itu, ada juga permainan lain yang dapat mempertingkatkan kemahiran motor halus seperti menguntai manik, menggunting, menguntai tali kasut, menampal dan sebagainya. Bagi mempertingkan kemahiran motor kasar boleh didapati melalui aktiviti melompat, naik turun tangga, bergayut, menari, memanjat dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun contoh-contoh permainan yang disebutkan tadi hanyalah sebahagian aktiviti yang boleh dilakukan dalam aktiviti belajar sambil bermain. Malah, terdapat banyak lagi pilihan permainan yang boleh dilaksanakan bersama kanak-kanak untuk mereka merasai sendiri pengalaman semasa mereka bermain dan aktiviti tersebut seharusnya memberikan peluang kepada kanak-kanak mempertingkan perkembangan mereka sama ada dari segi emosi, jasmani, rohani, mahupun perkembangan sosial kanak-kanak.


0 comments:

Post a Comment