Sunday 24 March 2013

TEORI KEPELBAGAIAN KECERDASAN GARDNER


Pada tahun 1983, Howard Gardner seorang ahli psikologi barat, telah mengasaskan satu teori yang berkaitan dengan kecerdasan iaitu teori kepelbagaian kecerdasan melalui bukunya Gardner, Frames of Mind. Pendapat yang dikemukakan oleh Howard Gardner menunjukkan bahawa kecerdasan seseorang dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan. Beliau menyenaraikan lapan kecerdasan yang terdapat pada seseorang.

Walaubagaimanapun, Gardner telah membuat satu spekulasi bahawa terdapat kewujudan kecerdasan yang kesembilan iaitu "existential intelligent" yang berkaitan dengan keadaan kerohanian manusia. Menurut Gardner, setiap individu mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza kecerdasan. Malah kecerdasan tersebut boleh ditingkatkan dengan pendidikan melalui aktiviti yang bersesuaian. Oleh itu, dalam konteks pendidikan guru memainkan peranan penting untuk merancang aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat memenuhi keperluan kecerdasan daripada sembilan kecerdasan sepertimana yang diperkenalkan oleh Gardner.


Sembilan Teori Kecerdasan Pelbagai :
  1. Kecerdasan Kinestetik - Kecerdasan ini melibatkan penggunaan sebahagian atau keseluruhan anggota badan untuk berkomunikasi atau menyelesaikan masalah. Secara teori, orang-orang yang mempunyai kecerdasan badan-kinestetik perlu belajar lebih baik dengan melibatkan pergerakan otot pada aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersukan dan tarian. Kecerdasan kinestetik ini boleh dilatih kepada seseorang individu daripada sejak kecil lagi. Kerjaya yang sesuai bagi mereka yang mempunyai kecerdasan ini termasuk atlit, juruterbang, penari, pelakon, pegawai polis dan askar. Contohnya seperti Shalin Zulkifli dan Nicole David.
  2. Kecerdasan Interpersonal - Kecerdasan ini merupakan kemampuan individu dalam mendiskriminasi antara pelbagai petanda interpersonal dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan berkesan secara pragmatik terhadap petanda tersebut. Kecerdasan interpersonal berkait rapat dengan emosi dan membolehkan seseorang itu memahami perasaan, motivasi, tabiat dan hasrat orang lain. Seterusnya mereka dapat berinteraksi dengan mudah dan boleh bekerjasama dengan orang lain secara praktikal untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Menurut Gardner, kecerdasan ini membantu kita bersosial dengan orang lain. Kecerdasan interpersonal dimiliki juga penting kerana kemahiran ini melambangkan keperibadian seseorang itu. Biasanya, seseorang yang mempunyai kecerdasan interpersonal yang kuat akan menjadi pemimpin dan pandai memberi nasihat. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan berkesan melalui pembelajaran, bekerjasama dengan rakan sebaya dan mudah terlibat dengan sebuah pergaulan. Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti kaunselor, jururundung dan ahli politik. Contohnya Dato' Dr. Fadzilah Kamsah.
  3. Kecerdasan Intrapersonal - Kecerdasan ini merupakan kesedaran tentang diri sendiri, berfikiran metakognitif dan berkebolehan untuk menilai diri sendiri. Orang yang memiliki kecerdasan intrapersonal yang tinggi selalunya dapat mengenali diri sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan tentang kekuatab dan kelemahan diri sendiri. Selain itu, mereka pandai menentukan hala tuju kehidupan serta mempunyai pegangan, prinsip dan azam yang kuat serta boleh berdikari. Secara keseluruhannya, orang yang mempunyai kecerdasan intrapersonal yang tinggi biasanya kelihatan murung dan suka mengelamun selain suka bersendirian, suka kesunyian dan suka bermonolog. Walaubagaimanapun mereka juga sentiasa berwaspada dan berwawasan dalam melakukan sesuatu. Mereka mengetahui apa yang dapat dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan dalam persekitaran sosial serta mengetahui kepada siapa harus mereka meminta bantuan pada saat-saat yang diperlukan. Contohnya pemimpin, ahli falsafah, pendeta dan pemikir.
  4. Kecerdasan Logik-Matematik - Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan logik, abstrak, penaakulan dan nombor. Kebolehan dominan di bahagian kiri otak membolehkan individu menaakul secara deduktif dan induktif serta berfikir secara konseptual. Individu yang mempunyai kecerdasan logikal matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang besar terhadap kegiatan yang berbentuk eksplorasi. Individu ini sering bertanya tentang berbagai-bagai fenomena yang dilihat yang berlaku disekeliling dan suka mengklasifikasikan benda untuk mudah mengira. Contohnya saintis, jurutera, arkitek dan doktor.
  5. Kecerdasan Verbal-Linguistik - Kecerdasan ini berkait dengan penguasaan bahasa, kesusasteraan dan kemahiran menggunakan bahasa yang kompleks. Seseorang yang mempunyai kecerdasan verbal-lingusitik tinggi memaparkan kemudahan dengan kata-kata dan bahasa. Individu ini sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk memanipulasikannya. Mereka cenderung untuk belajar lebih baik dengan membaca, mengambil nota, mendengar kuliah dan berbincang dan berdebat mengenai apa yang mereka pelajari. Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti pengarang, pensyarah, wartawan dan peguam. Contohnya A. Samad Said, Osman Awang dan Za'ba.
  6. Kecerdasan Visual-Ruang - Kecerdasan ini memperkatakan tentang penghakiman ruang dan keupayaan untuk menggambarkan dengan mata minda. Individu yang mempunyai kecerdasan visual-ruang memiliki keupayaan berimaginasi yang tinggi dan mampu mencipta sesuatu yang kreatif atau baru serta sukar untuk difikirkan oleh orang lain. Mereka mampu membuat andaian atau hipotesis mengenai pelbagai perkara seperti tafsiran mengenai alam. Peka kepada warna, garisan, bentuk, corak dan ruang yang terdapat disekeliling. Individu yang mahir dalam bidang ini seperti juruterbang, ahli pelayaran, angkasawan dan termasuklah juga pelukis dan arkitek. Contohnya Azhar Mansor.
  7. Kecerdasan Naturalis - Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan memupuk maklumat berkaitan persekitaran semulajadi. Individu yang mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi biasanya merupakan seseorang pencinta alam yang dapat mengenali dan mengklasifikasikan flora, fauna dan galian dengan mudah. Mereka mempunyai sikap prihatin dan penyayang yang tinggi terhadap alam. Pelajar yang mempunyai kecerdasan naturalistik akan lebih berkesan kecerdasannya dengan mengadakan aktiviti luar kelas. Contohnya seperti ahli biologi, nelayan, ahli botani, ahli geologi dan pendaki gunung adalah kerjaya yang sesuai bagi mereka yang mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi.
  8. Kecerdasan Muzik - Kecerdasan ini berkaitan dengan kemampuan untuk menggemari, mendiskriminasi dan meluahkan perasaan melalui muzik. Menurut Gardner, kecerdasan ini berjalan di struktur yang hampir sejajar dengan kecerdasan linguistik. Individu ini berupaya menggunakan set asas atau elemen-elemen muzik serta dapat bermain alat muzik dan menghafal lirik muzik dengan baik. Selain itu mampu menggubah rentak dan tempo serta mudah kenal dan mengingat nada-nada bunyi atau muzik. Mereka sering berjaya menjadi selebriti yang terkenal seperti penyanyi, penggubal lagu, komposer, penulis lirik dan pengarah teater. Contohnya P. Ramlee.
  9. Kecerdasan Eksistensialis atau Spiritual - Individu yang mempunyai kecerdasan ini memiliki ciri-ciri yang lebih cenderung untuk bertanya dan menimbulkan persoalan berkaitan hasil-hasil pemerhatiannya terhadap persekitarannya atau mengenai segala kewujudan manusia, erti kehidupan, mengapa manusia mengalami kematian dan juga realiti yang dihadapi oleh manusia dalam hidup. Untuk menungkatkan kecerdasan ini seseorang boleh membaca banyak buku falsafah dan menyoal diri sendiri tentang pertanyaan yang membolehkannya menelaah jawapan secara mendalam. Contohnya Plato, Socrates dan Einstein.
Sesungguhnya teori kecerdasan pelbagai penting untuk pengajaran dan pembelajaran kerana teori ini dapat dijadikan sebagai petunjuk kepada potensi murid supaya guru dapat merancang pengajaran mereka dengan lebih berkesan.

0 comments:

Post a Comment