Monday 25 February 2013

TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK GESELL

Dalam entri pertama ini, saya akan berkongsi mengenai kelas minggu kedua bagi subjek PPEK3104 Perancangan Program dan Strategi Pengajaran.

Setiap insan mengalami perubahan dan perkembangan daripada aspek fizikal, sosial, kognitif dan emosi daripada lahir sehingga remaja dan tua. Pembelajaran hanya boleh berlaku apabila aspek fizikal, kognitif dan saraf pelajar mencapai kematangan. Sebagai guru kita perlu memahami aspek pertumbuhan dan perkembangan pelajar. Walaubagaimanapun sebenarnya tahap perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza walaupun di peringkat umur yang sama.


Arnold Gesell atau nama sebenarnya Arnold Lucius Gesell (1952) mengatakan bahawa baka dan kematangan adalah faktor penting dalam menentukan perkembangan kanak-kanak. Perkembangan mereka adalah unik antara satu sama lain dan tempoh 5 tahun pertama merupakan perkembangan kanak-kanak dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial. Menurut Gesell semasa perkembangan bayi, mereka belajar duduk, berdiri, berjalan dan berlari. Keupayaan tersebut juga berkembang dalam urutan yang spesifik. Mereka muncul dengan pertumbuhan saraf yang berbeza dari segi kepantasan perkembangan. Mereka tidak berdiri dan berjalan pada umur yang sama. Walaubagaimanapun, mereka melalui sekuens atau turutan yang serupa. Dari pandangan Gesell ini, perbezaan individu dalam kepantasan pertumbuhan dikawal sepenuhnya oleh mekanisme genetik dalaman.

Menurut Gesell lagi, kesan kematangan dapat dibandingkan dengan kesan persekitaran. Faktor persekitaran ini penting. Kematangan menyokong pertumbuhan yang baik tetapi mereka tidak memainkan peranan terus dalam struktur sekuens perkembangan dan bentuk tingkah laku. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, ia memasuki jenis persekitaran yang berbeza, bukan sahaja persekitaran yang bertemu dengan kehendak fizikal tetapi persekitaran sosial dan budaya yang cuba menggalakkannya berkelakuan dalam cara yang sewajarnya.

Gesell lebih menitik beratkan untuk mengajar kanak-kanak akan perkara terdahulu daripada jadual. Kanak-kanak akan duduk, berjalan dan bercakap apabila mereka bersedia dan sistem saraf sudah matang sepenuhnya. Pada masa yang sesuai mereka mula menguasai sesuatu tugasan yang datang dari kenginginan sendiri.

PERANAN SEBAGAI IBU BAPA, GURU DAN PENGASUH

Setelah kita mengetahui perkembangan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan pengasuh tidak perlu terlalu bimbang sekiranya seseorang kanak-kanak itu melalui proses perkembangan yang lambat. Hal ini demikian kerana sepertimana kata Gesell, kanak-kanak akan berkembang melalui jadualnya. Walaubagaimanapun latihan terhadap kanak-kanak perlu dilakukan supaya mereka melalui persekitaran yang dapat memberi galakan untuk meraka menjalani proses perkembangan dengan cepat.

Semasa bayi belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara kembali duduk. Tunjukkan cara bagaimana membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh dan biarkan dia mencuba sendiri. 

Anda boleh menggalakkan kanak-kanak berjalan dengan berdiri atau berlutut di depannya sambil menghulurkan tangan, dengan memegang kedua-dua tangan kanak-kanak dan membantu kanak-kanak bergerak ke arah anda atau boleh juga memberi perangsang seperti mainan supaya kanak-kanak tertarik untuk berjalan ke arah benda yang disukainya. Contohnya, membeli sebuah mainan yang boleh dipegang dan tolak supaya kanak-kanak berjalan melaluinya. 

Selain itu, ibu bapa, guru dan pengasuh boleh juga melatih kanak-kanak menaiki tangga dengan pengawasan supaya kanak-kanak tidak terdedah kepada keadaan yang berbahaya. Hal ini demikian kerana dalam proses belajar berjalan kanak-kanak masih memerlukan pertolongan turun dan naik tangga.

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, guru dan pengasuh kanak-kanak, kita seharusnya menitik beratkan tentang persekitaran kanak-kanak itu sendiri. Sepertimana menurut Gesell bukan sahaja persekitaran yang bertemu dengan kehendak fizikal tetapi persekitaran sosial dan budaya yang cuba menggalakkan kanak-kanak berkelakuan dalam cara yang sewajarnya. Begitulah penting faktor persekitaran memainkan peranannya dalam perkembangan seseorang kanak-kanak.

0 comments:

Post a Comment